MASA: 9.00p.m. - 10.00p.m.
Setelah penat beramah mesra bersama penduduk pada petang tadi, kami segera beransur balik ke rumah untuk mempersiapkan diri bagi aktiviti malam ini. Pada malam ini, aktiviti ceramah akan diadakan. Penceramah pada malam ini ialah Dr Saadan bin Man atau lebih mesra dipanggil Ustaz Saadan daripada Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam, UM. Sebenarnya, pengarah program sendiri yang menjemput Ustaz Saadan untuk memberikan ceramah dengan bantuan beberapa orang rakan daripada API. Terima kasih kalian;-) Ustaz Saadan memberikan kata putus untuk hadir memberikan ceramah lalu pengarah program menjemput beliau secara rasmi dengan memberikan surat jemputan sendiri di API.
Program ini diadakan di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding. Sebelum program ini dimulakan, semua tetamu yang hadir melakukan solat Jemaah maghrib bersama-sama. Rakan-rakan bukan Islam pula ditempatkan di bilik mesyuarat masjid. Tepat pada pukul 7.45 malam, ceramah mula disampaikan di dalam dewan solat. Penceramah memperkenalkan diri dan seterusnya memberikan ceramah. Antara perkara yang disentuh ialah adab-adab berjiran, siapakah jiran kita, jenis-jenis jiran serta perkara yang dibolehkan dan dilarang dalam berjiran. Ada di antara kami yang tertidur ketika kuliah magrhrib ini, mungkin kerana kepenatan pada siangnya.( maafkan kami, kami hanya manusia biasa) Mujurlah, mereka mengambil inisiatif sendiri dengan mengambil Al-Quran untuk dibaca supaya tidak mengantuk lagi.
Setelah penceramah selesai menyampaikan ceramah sekitar 9.30 malam, Ketua Kampung Seri Cheeding iaitu Encik Hasan diiringi wakil pihak Masjid Kampung Seri Cheeding memberikan cenderahati kepada Dr. Saadan bin Man. Selepas selesai melakukan solat Isyak secara berjemaah, hadirin dijemput untuk menjamu selera di dalam dewan di luar masjid. Di sini juga, pihak masjid bersama JKKK memberikan layanan yang cukup baik apabila mereka menaja jamuan pada malam itu. Kami juga sempat beramah mesra dan bersuai kenal dengan Biro Muslimat yang ada pada malam itu. Ternyata semuanya ramah-tamah dan suka bergurau senda. J
Kami berasa sangat gembira kerana program yang dianjurkan oleh kami mendapat sambutan oleh pihak kampung. Walaupun jemaah yang hadir tidak terlalu ramai, tetapi kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya objektif kami untuk memupuk masyarakat yang mencintai majlis ilmu tercapai akhirnya. Terima kasih tidak terhingga kepada pihak kampung kerana memberikan kerjasama yang bagus. Tidak lupa juga kepada Dr. Saadan bin Man kerana sudi melapangkan masa untuk memberikan ceramah pada waktu tersebut. insyaAllah jika ada kesempatan lagi selepas ini, kami akan cuba untuk menganjurkan lagi majlis ilmu seperti ini.
REFLEKSI
Fatihah
Walaupun Jemaah tak ramai, tapi tetap ada yang datang. Terima kasih Ustaz Saadan sebab sudi datang ke mari untuk kami!
Emy
Melalui ceramah ini, saya mendapat banyak informasi baharu serta adab-adab dalam kehidupan berjiran pada zaman moden ini. Dengan ilmu yang didapati ini, saya akan memastikan untuk menggunakannya dalam kehidupan seharian.
Shazelin
Ceramah agama yang bertajuk Modenisasi Kejiranan Global dan Perspektif sangat bagus disampaikan oleh penceramah. Banyak perkara yang saya pelajari.
Sabrina
Ramai penduduk kampung yang turut serta bersama kami mendengar ceramah yang disampaikan oleh ustaz dari UM mengenai konsep kejiranan dalam konteks Islam. Walaupun rata-rata penduduk kampung mungkin penat selepas balik kerja teteapi mereka sudi meluangkan masa bersama kami di masjid untuk mendengar ceramah. Saya amat berterima kasih kepada penduduk kampung.
Ada
Saya berasa sangat mengantuk ketika berlangsungnya ceramah ini kerana letih setelah seharian membuat pelbagai aktiviti. Ceramah yang disampaikan agak menarik walaupun ustaz yang menyampaikan ceramah ini kurang berjenaka, namun saya dapat pelajari beberapa ilmu dan input yang berguna daripada ceramah ini.
Zahirah
Ceramah yang disampaikan menerangkan banyak perkara mengenai adab hidup berjiran. Oleh itu, saya dapat mengetahui cara yang lebih baik untuk melayan dan menghargai jiran saya.
Adilah
Saya berasa seronok mendengar ceramah dari Ustaz Saadan. Malahan, sambutan pada malam itu agak memuaskan.
Syafina
Kami dapat mengisi sifat kerohanian dalam diri di samping dapat memupuk sifat rendah diri dalam peribadi masing masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan