Selasa, 12 Mei 2015

"The Journey"

Video Keseluruhan Projek Jalinan Masyarakat

Program Bersama Anak-Anak Yatim YPIN

TARIKH : 17 APRIL 2015, JUMAAT
MASA : 8.00a.m. - 5.00p.m.


Pada 17 April lalu, kami, pelajar-pelajar Sains dan Pengurusan Alam Sekitar (SPAS), Universiti Malaya, menganjurkan program bersama anak yatim di Rumah Amal Anak Yatim YPIN yang terletak di Kampung Sungai Manggis, Banting, Selangor. (Program ini adalah merupakan program di bawah Projek Jalinan Masyarakat, Universiti Malaya). Kami tiba di lokasi tepat jam 8 pagi. Dengan perasaan teruja, kami langsung menemui Kak Ema, yang merupakan Pegawai Perhubungan rumah anak yatim tersebut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai persekitaran rumah anak yatim. Kami juga turut berkenal-kenalan dengan staf-staf rumah anak yatim tersebut.

Selepas sesi perkenalan dengan staf-staf, kami membahagikan kumpulan iaitu kumpulan ke pasar dan kumpulan gotong-royong. Hmmm... Kumpulan ke pasar tidaklah ramai, enam orang sahaja termasuk dengan dua orang pemandu van. Bagi kumpulan ke pasar, setibanya kami di Pasaraya Econsave, Banting, kami terus berpecah kepada dua kumpulan dan mencari barang-barang basah untuk masak tengah hari itu. Senarai barang semua dah dibahagi dalam van. Eheh. Menu masakan tengah hari itu ialah Tom Yam, telur dadar dan kobis goreng. Banyak juga yang perlu dibeli dengan anggaran masakan untuk 60 orang. Tidak lupa juga, buah tembikai, ais dan kordial. Setelah buat pembayaran, kami terus bergegas ke van untuk memasukkan semua barang. Ops. Rupa-rupanya Encik Azhar (pemandu kami) pun beli tembikai untuk anak-anak yatim. Termasuk yang kami beli, lima biji semua sekali. Hmm... Tak apalah, rezeki adik-adik di rumah anak yatim. Oh ya, sebelum admin lupa, untuk kumpulan gotong-royong, mereka bertungkus-lumus membersihkan setiap sudut di asrama, tandas dan juga bilik-bilik di rumah anak yatim tersebut. Berpeluh sakan mereka nampaknya. Tahniah atas usaha keras kawan-kawan!!! (itu saja yang mampu admin katakan..hihi).
Sebelum balik ke rumah anak yatim, kami singgah sebentar di Petronas untuk mengisi minyak (sudah semestinya) dan membeli sarapan untuk semua kawan-kawan SPAS. Baki dari duit membeli barang-barang basah, kami dapat juga beli roti Gardenia 11 bungkus dan juga air laici empat kotak besar. Sekembalinya kami dari pasar, kami disapa dengan wajah-wajah keletihan kawan-kawan. Tahniah sekali lagi...hehe.. Kami mengalas perut dahulu sebelum memulakan rewang untuk makan tengah hari. Kita barkan kawan-kawan yang keletihan, admin dan tiga orang lagi dari kumpulan pasar memulakan aktiviti. Kami memotong bahan-bahan terlebih dahulu. Setelah rehat beberapa minit, semua kembali kepada agenda utama iaitu...REWANG. Banyak juga gambar yang dirakam semasa kami bekerja.

Gambar semasa rewang..
Muka-muka tukang masak pada hari kejadian..^^
Belum pun siap memasak, adik-adik dah balik dari sekolah. Hmm... Masak sajalah..

Menu makan tengah hari..Hmmm.. Nampak sedapkan??
Selepas siap menghidang makanan, kami semua duduk bersama adik-adik di ruang makan. Sempatlah juga kami berkenal-kenalan dengan adik-adik yang comel ni.

Suasana semasa makan tengah hari..
Selepas perut kenyang terisi, kami pun menunaikan solat Zuhur bagi yang Muslim. Adik-adik lelaki pun terus bersiap ke masjid untuk solat Jumaat. Tepat jam 3 petang, kami berkumpul di Dewan Program untuk meneruskan aktiviti seterusnya. Banyak permainan yang kami main. Antaranya ialah menyanyi lagu ulat bulu (untuk pengetahuan semua, lagu ini perlu dinyanyikan banyak versi, versi original wajib dinyanyikan dan versi AEIOU. Kami perlu menukar semua huruf vokal dalam lirik kepada A, E, I, O dan U), permainan ‘buaya, biawak’ (Tangan kanan; buaya akan menunjuk orang di sebelah kiri dan biawak adalah sebaliknya. Terpulang kepada pemain yang ditunjuk untuk membuat buaya atau biawak. Jadi, semua orang perlu peka terhadap pilihan orang sebelah), permainan ‘rungkai’ (Kami perlu memegang mana-mana tangan ahli kumpulan kecuali sebelah dan perlu merungkainya. Fasi juga main bersama. Tidak lupa untuk mengasingkan lelaki dan perempuan) dan juga permainan ‘beruang, ikan, nyamuk’ (Diubahsuai dari ‘Osom’. Antara yang diubahsuai adalah karakter permainan dan cara permainan. Bagi pasukan yang menang, perlu mengatur strategi untuk menangkap anak buah pihak lawan).

Bermain bersama adik-adik..^^
Setelah penat bersuka-ria, kami berhenti untuk minum petang. Sekali lagi kami memasak. Menu untuk minum petang pula ialah bubur kacang hijau. Siapa yang tak tahu, bolehlah ‘Google’ untuk tengok rupanya macam mana. Boleh juga tengok resepinya...Hehe.. Seterusnya, kami solat Asar. Tepat pukul 5 petang, kami semua berkumpul semula di Dewan Program untuk majlis penutup. Dalam majlis penutup, kami mendengar ucapan dari pensyarah kami, juga merupakan penyelaras program iaitu Dr. Rosazlin, ucapan dari naib pengarah projek, pengarah program dan akhir sekali wakil dari Rumah Amal Anak Yatim YPIN, Encik Amri yang merupakan pengurus rumah anak yatim tersebut. Kami turut memberikan sumbangan kepada adik-adik yang berupa makanan, cenderamata dan juga buku-buku. Akhir sekali.... SESI BERGAMBAR!!!

Gambar kenangan di Rumah Amal Anak Yatim YPIN, Kampung Sungai Manggis, Banting, Selangor.

REFLEKSI
Fatihah
Pertama kali masak tom yam dalam kawah sebegitu besar. Lepas ni, mungkin saya akan tukar kos Katering( gurau je)!!!

Sylvester
Saya berasa amat bertuah dan berasa bahawa kami patut berterima kasih kepada semua benda yang kami ada. Walaupun hidup sebagai anak yatim, kanak-kanak di rumah anak yatim tersebut amat aktif dan senyuman mereka iklhas dan menyentuh hati saya. Saya amat menghargai pengalaman saya di rumah anak yatim itu.

Emy
Saya dan tiga lagi kawan ke Econsave untuk membeli bahan-bahan untuk masakan tengah hari kami bersama adik-adik di sana. Kali pertama saya membeli barang dapur seperti sayur tanpa ibu. Selalunya saya memang tak dapat bezakan jenis-jenis sayur tetapi kali ini saya berjaya membeli sayur yang betul kecuali satu part yang kami terlupa untuk beli serai. Saya juga telah menggoreng telur dadar yang edible. Alhamdulillah~

Shazelin
Saya merasakan sangat bersemangat dan gembira kerana dapat berjumpa dengan adik-adik di Rumah Anak Yatim Sg. Manggis. Saya telah mendapat pengalaman dan memori yang baru di rumah anak yatim tersebut.

Desmond
Saya berasa kesian kepada kanak-kanak di rumah anak yatim kerana tidak mempunyai kesayangan ibu bapa sejak kecil. Masa depan mereka juga susah kerana segalanya tanggungan sendiri dan tidak boleh bergantung kepada perlindungan rumah anak yatim.

Yong Xin
Selepas mengharungi satu hari dengan budak yatim di sini, saya berasa setiap budak di ini sangat berbakat dan aktif walaupun situasi keluarga mereka yang sulit. Mereka berhak untuk dapat kehidupan dan pelunag yang sama serata seperti setiap budak di negara ini. Terdapat satu barang yang sangat sangat diperlukan oleh mereka ialah perhatian. Oleh itu, sesiapa yang pikul tanggungjawab untuk menjaga mereka hendaklah mempunyai kefahaman sebegitu.

Annabel
Saya berasa sakit hati tentang keadaan dalam rumah anak yatim kerana keadaan rumah anak yatim yang uzur dan mempunyai tahap kebersihan yang rendah. Saya berharap budak-budak dapat mempunyai tempat yang bersih dan selesa supaya dapat focus dalam pembelajaran mereka.

Vino
Sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada.

Sabrina
Pengalaman baru juga tercipta disini kerana kami beramai-ramai rewang untuk menyediakan bahan bagi memasak makanan tengah hari untuk menjamu anak-anak yatim serta pihak pengurusan tempat anak-anak yatim ini. Ada diantara kami yang ditugaskan untuk bergotong-royong mengemas bilik lelaki dan perempuan di rumah anak yatim ini sementara yang lain keluar untuk membeli barang basah. Saya berasa amat puas hati dan gembira kerana dapat menggembirakan anak-anak yatim dengan kehadiran kami, permainan yang menarik dan sedikit cenderamata.

Ada
Perasaan simpati menyelubungi diri saya setelah melihat keadaan anak-anak yatim. Walaupun mereka tidak mempunyai ibu atau bapa atauu keduanya, mereka sentiasa berkeyakinan tinggi dan sentiasan bersemangat. Banyak perkata yang saya pelajari daripada pengalaman di rumah anak- anak yatim ini. Saya juga berasa besyukur dengan kehidupan saya setelah melihat keadaan anak-anak yatim yang kurang bernasib baik itu.

Zahirah
Rumah Anak Yatim YPIM : dapat mengenali kanak-kanak di rumah anak yatim tersebut dan bergotong-royong untuk mengemas bilik-bilik mereka serta memasak bersama-sama mereka.

Adilah
Seharian di rumah nak yatim sangat memuaskan. Penat lelah kami terbayar apabila bermain dengan adik-adik rumah anak yatim yang ‘sporting’ belaka.

Syafina
Hubungan yang erat dapat dijalinkan bersama anak-anak yatim ini dan kami dapat memupuk sifat rendah diri, penyayang dan prihatin dalam diri setelah program tamat serta memberi sedikit keinsafan dalam diri bahawa kita harus bersyukur dengan apa yang dimiliki.

Majlis Penutup

TARIKH: 16 APRIL 2015, KHAMIS
MASA: 8.45p.m. - 11.00p.m.


Sesi bergambar bersama penduduk kampung Seri Cheeding dan Anak yatim
Pada jam 8.45 malam, sesudahnya solat Isyak dan solat Maghrib berjemaah serta bacaan Yassin, bermulanya aktiviti majlis penutup bagi menutup segala aktiviti yang kami jalankan di Kampung Seri Cheeding.. Bilangan tetamu yang datang amat mengalakkan. Tetamu yang datang bukan sahaja orang kampung Seri Cheeding, malahan anak yatim daripada Rumah Anak Yatim Sg. Manggis turut sama terlibat bagi menjayakan majlis penutup.

Sesi bergambar (say cheese) :D
Majlis penutup dimulakan dengan ucapan Pengarah Projek kami iaitu Nurul Fatihah Binti Makroof. Seterusnya, disambung dengan ucapan penyelaras kami Dr. Rosazlin Binti Abdullah dan Ketua Kampung Seri Cheeding iaitu En. Hassan Bin Musman.

Majlis diteruskan dengan pemberian cenderahati kepada ketua Kampung Seri Cheeding dan pemberian cenderahati daripada Jawatankuasa Kampung Seri Cheeding kepada kami. Tayangan video sepanjang aktiviti yang kami lakukan di Kampung Seri Cheeding telah ditayangkan bagi mengenang memori-memori indah bersama penduduk Kampung Seri Cheeding. Kami merasakan sangat gembira dan bertuah kerana dapat bekerjasama dengan penduduk Kampung Seri Cheeding yang peramah, pemurah dan baik hati.

Kanak-kanak sedang berdoa.
Majlis penutup disudahi dengan sesi bergambar antara kami, penduduk kampung Seri Cheeding dan anak yatim. Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti yang dirancang.

Gambar bersama kanak-kanak semasa majlis penutup.
Saya Shazelin Binti Shamsul pengarah Majlis Penutup sangat berterima kasih kepada penduduk Kampung Seri Cheeding, pensyarah kami Dr. Rosazlin dan kalian-kalian yang terlibat sama dalam menjayakan keseluruhan program kami, tanpa kalian siapalah kami. Kami juga memohon seribu kemaafan jika ada salah laku kami sepanjang aktiviti yang diadakan. Semoga kita ketemu lagi di lain hari.

Selamat Jalan~~.. Panjang umur ketemu lagi.

REFLEKSI
Fatihah
Memang terbaik. Makanan pun sedap. Sedih pun ada sebab tak sangka dah hari terakhir.

Sylvester
Akhirnya sampai majlis penutup, tamatnya program kami di Kampung Seri Cheeding ini. Terharu sangat melihat video yang dibuat oleh Yong Xin yang merangkumi semua aktiviti yang telah kami buat sepanjang projek jalinan masyarakat kami di Kampung Seri Cheeding.

Emy 
Saya dan Zera ditugaskan sebagai MC pada malam itu. Saya tak tau macam mana pantun kami dan pantun Tok Ketua boleh sama. Malu tapi saya baca jugak pantun tu. Terima kasih kepda Zera sebab sama-sama menghadapi malam itu sebagai MC.

Shazelin
Saya merasakan sangat gembira bercampur sedih kerana berakhirlah aktiviti kami di Kampung Seri Cheeding. Selain itu, saya ingin berterima kasih kepada individu yang terlibat menjayakan program kami.

Desmond
Saya bersyukur kerana sempat membeli bateri untuk mikrofon pada malam itu. Seorang abang membantu saya dengan memberi tumpang motosikal untuk pergi ke kedai runcit. Saya ucapkan jutaan terima kasih saya ucapkan. Saya amat terharu apabila video penutupan program ditayangkan kerana ini melambangkan kami perlu bertolak dari kampung ke destinasi seterusnya. Pada masa yang sama, saya amat gembira kerana dapat belajar daripada pihak kampung. 

Yong Xin
Saya amat terharu apabila video program yang saya edit dapat sambutan yang baik daripada para hadirin. Semua orang berpeluang mengetahui apa aktiviti yang sudah kami jalankan di Kampung Seri Cheeding.

Annabel
Walaupun penat pada hari terakhir di kampung, tapi saya berasa amat berpuas hati dan 
gembira kerana sepanjang 4 hari, program kita dapat berjalan lancar dengan kerjasama    
semua pihak. 

Vino
Berasa amat sedih untuk  meninggalkan kampung tersebut kerana sepanjang kami berada di kampung tersebut, kami telah dilayan dengan penuh kasih sayang dan kami juga telah mewujudkan hubungan yang sangat erat dengan penduduk kampung.

Sabrina
Pada malam tersebut, sambutan yang diterima agak memuaskan rata – ratanya daripada golongan kanak – kanak kerana belon diberikan. Saya amat berterima kasih kepada anak – anak yatim dan pengiring mereka kerana turut hadir untuk majlis penutup ini. Saya turut berterima kasih kepada penduduk dan JKK Kampung Seri Cheeding kerana memberi kerjasama yang amat baik dalam menjayakan semua aktiviti yang kami adakan di kampung ini. Berat juga hati untuk meninggalkan kampung ini kerana banyak kenangan dan pengalaman baru yang telah tercipta sepanjang berada di kampung ini.

Ada
Perasaan sedih dan pilu ada dirasakan semasa berlangsungkan majlis penutup kerana dengan berakhirnya majlis ini, maka program kami di kampung ini juga akan berakhir. Majlis penutup berjalan lancar walau kami berasa risau apabila makanan untuk para tetamu tiba di majlis agak lambat.

Zahirah
Saya memperoleh pengalaman baru menjadi pengerusi majlis dan cara untuk menangani sebarang kesukaran sepanjang majlis berlangsung.

Adilah
Walaupun ada sedikit masalah teknikal, saya berasa lega kerana majlis berjalan dengan lancar.

Syafina
Kami dapat belajar cara menguruskan program formal yang melibatkan protokol dan etika majlis serta kami dapat mempelajari cara mengatasi masalah yang timbul ketika majlis berlangsung.

Aktiviti Solat Jemaah dan Bacaan Yaasin

TARIKH: 16 APRIL 2015, KHAMIS
MASA: 7.00p.m. - 8.45p.m.


Tepat pada jam 7.30 malam kami telah menuju ke Masjid Nurul Hidayah, Kg. Seri Cheeding dari kawasan rumah sewa kami bagi menghadiri solat jemaah dan bacaan Yaasin secara beramai-ramai. Majlis solat jemaah dan bacaan Yaasin ini hanya dihadiri oleh pelajar yang beragama Islam. Kami telah bertelekung beramai-ramai sambil menuju ke masjid. Terasa bagai ingin ke masjid untuk menunaikan solat sunat terawih pada bulan Ramadhan.

Sampai sahaja di masjid, azan Maghrib pon berkumandang. Setelah Muazzin selesai melaungkan azan, kami pon menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Solat Maghrib pada malam itu diimamkan oleh imam dua Kg. Seri Cheeding, Imam Hj. Ma’rof bin Hj. Ahmad. Alunan suara Imam Hj. Ma’rof sangat merdu didengari kerana mempunyai pengalaman yang agak lama ketika bertugas sebagai imam.

Seusai solat Maghrib, kami meneruskan lagi majlis dengan bacaan surah Yaasin beramai-ramai sementara menunggu masuknya waktu fardhu Isyak. Sambutan daripada penduduk kampung agak memuaskan kerana yang hadir dalam majlis bacaan Yaasin itu tidak mengira jantina dan umur. Namun begitu, terdapat juga segelintir kanak-kanak yang tidak berkeinginan untuk menyertai majlis bacaan Yaasin itu. Mereka hanya membuat bising semasa majlis bacaan Yaasin diadakan walaupun telah dinasihat oleh beberapa golongan bapa-bapa yang hadir pada malam itu.

Kanak-kanak turut menghadiri majlis pembacaan Yaasin.

Para ibu khusyuk membaca Suurah Yaasin

Kira-kira pada jam 8.30 malam, azan Isyak pon berkumandang. Kami pon segera menunaikan solat Isyak secara berjemaah kerana akan berlangsungnya majlis penutup di Dewan Masjid Nurul Hidayah pada jam 9.00 malam. Setelah imam selesai membacakan doa, kami pon bersalam-salaman dengan jemaah-jemaah yang lain sambil beramah mesra seketika. Seterusnya kami pon bergegas bersiap-siap ke dewan masjid bagi menghadiri Majlis Penutup Program Jalinan Masyarakat.

REFLEKSI
Fatihah
Terharu sangat sebab ramai penduduk kampung yang boleh datang. Anak yatim pun datang untuk bagi sokongan.

Emy
Saya dapat bertemu dengan jemaah yang menghadiri majllis bacaan Yaasin dan dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim dengan penduduk kampung. Jamuan ringkas selepas itu juga mempunyai hidangan yang sangat enak.

Shazelin
Bacaan Yassin dan Solat Jemaah sangat digalakkan di dalam Islam, saya merasakan sangat gembira kerana dapat bersama-sama membaca Yassin dengan penduduk Kampung Seri Cheeding.

Sabrina
Saya terharu kerana anak-anak yatim yang kami jemput turut hadir membaca yasin dan bersolat jemaah bersama. Ramai juga penduduk kampung yang turut serta dalam program ini.

Ada
Saya merasakan lebih tenang dan menghilangkan stress apabila dapat mendekatkan diri kepada Tuhan. Segala penat lelah semasa menjalankan pelbagai aktiviti pada hari-hari sebelumnya hilang seketika. Banyak manfaatnya jika kita sentiasa mengamalka solat jemaah dan bacaan Yaasin.

Zahirah
Saya berasa amat gembira keranan dapat berkumpul bersama-sama penduduk kampung dan rakan-rakan SPAS yang lain.

Adilah
Saya berasa kerana dapat beramah mesra dengan jemaah-jemaah perempuan yang hadir pada malam itu. Termasuk juga adik-adik dari Rumah Amal Anak Yatim YPIN dan Kak Ema.

Syafina
Kami dapat mengisi sifat kerohanian dalam diri di samping dapat  memupuk sifat rendah diri dalam peribadi masing masing.

Sesi di Ladang Penternakan Kambing Bukit Perah, Seri Cheeding

TARIKH:16 APRIL 2015, KHAMIS
MASA: 2.00p.m. - 6.00p.m.


Pada hari Khamis bersamaan dengan 16 April 2015 pula, kami ke Ladang Penternakan Kambing Bukit Perah, Seri Cheeding . Perjalanan kami ke ladang tersebut memakan masa selama 15 minit. Ladang ini juga dikelilingi oleh ladang kelapa sawit yang sangat luas. Apabila kami tiba di lokasi tersebut, kami dialu-alukan oleh pemilik ladang iaitu Encik Abdullah atau lebih dikenali sebagai Bang Dollah. Beliau berusia 57 tahun dan mempunyai 2 orang anak. Beliau juga menjadi penternak kambing secara sepenuh masa. Menurut beliau ,ladang ini ditubuhkan pada tahun 2000 dan pada masa itu, beliau hanya menternak 6 ekor kambing  yang terdiri daripada 5 ekor betina dan seekor jantan. Kawasan ladang tersebut adalah seluas 100 ekar. Beliau juga menternak 68 ekor kambing termasuk kambing betina dan kambing jantan. 

Rumah penyimpanan kambing.
Kami juga dibenarkan masuk ke dalam kandang tersebut serta bermain dengan kambing-kambing tersebut. Encik Abdulah telah berkongsi pelbagai maklumat berkaitan ladangnya bersama kami.                       
Banyak kambing yang diternak oeleh pemilik ladang.

Yong Xin yang sedang memberi makan kepada anak kambing di dalam kandang.
Selepas berbual dengan Encik Abdullah, Kambing-kambing ternakan beliau dilepaskan untuk mencari makanan di sekitar ladang kelapa sawit. Kami juga turut ikut bersama Bang Dollah untuk menggembala kambing-kambing tersebut.
Kambing-kambing dilepaskan untuk mencari makan. 
Kambing-kambing yang keluar dari kandang untuk mencari makanan di sekitar kawasan tersebut.
Setelah pukul 5.30 petang, wakil kami iaitu, Cik Fatihah telah menyampaikan sedikit cenderamata kepada Encik Abdullah kerana sudi meluangkan masa dengan kami serta berkongsi pengetahuan berkaitan bidang ini. Setelah menyampaikan cenderamata, kami pun bersurai.
Penamatan program sesi di ladang.

REFLEKSI
Fatihah
Saya tak suka sangat kucing, tapi bila dengan kambing, saya rasa seperti ada hubungan yang tak dapat diungkapkan. Comel pulak tu!

Sylvester
Saya berasa amat kagum dengan Pak Dollah yang dapat mengawal semua kambing di kandang kambing ini. Walaupun kelihatan serba kekurangan tetapi Pak Dollah menggunakan cara sendiri dan tidak menggunakan sebarang suntikan untuk membesarkan kambing ternakannya dengan cepat, cara pengurusan Pak Dollah yang beretika dan semangatnya amat saya kagumi.

Emy
Ini adalah salah satu sesi yang paling saya gemari. Walaupun mereka agak berbau tetapi kambing-kambing milik Pak Dollah sangat jinak dan comel. Kami sempat lagi membuat satu filem pendek bersama anak kambing di dalam kandang kambing hehe.

Shazelin
Saya merasakan sangat teruja kerana dapat melihat dan menyentuh kambing dengan lebih dekat. Ianya merupakan mengalaman yang menarik.

Desmond
Saya berasa amat gembira semasa program ini kerana inilah pertama kali saya pergi ke ladang kambing. Saya berasa kagum terhadap Pak Dollah kerana tujuan pembukaan ladang tidak bertumpu kepada keuntungan.

Yong Xin
Saya amat teruja untuk mendampingi dengan kambing-kambing yang comel ini. Saya juga kagum dengan dedikasi Pak Cik Dollah menguruskan ladang ini sendiri.

Annabel
Saya sangat menghormati Pak Dollah kerana beliau menjaga kambing sehingga sihat dengan kesayangan dan kesabaran.

Vino
Usaha adalah tangga kejayaan.

Sabrina
Saya berasa gembira dan teruja kerana dapat memberanikan diri untuk rapat, mengangkat dan mengusap kambing di tempat ternakan ini. Kami juga mempelajari kaedah – kaedah untuk menternak kambing.

Ada
Kami berasa agak takut pada mulanya kerana ini merupakan kali pertama saya memegang kambing walau kambing-kambing sebenarnya tidak merbahaya kepada manusia. Agak lucu apabila dapat melihat gelagat dan telatah kambing-kambing ini yang sangat teruja apabila melihat kedatangan kami.

Zahirah
Saya dapat mempelajari cara untuk menternak kambing dengan betul dan menanamkan sifat kasih sayang pada haiwan.

Adilah
Walaupun kambing agak menakutkan, saya berasa teruja sepanjang program dijalankan kerana berpengalaman berinteraksi dengan kambing.

Syafina
Kami dapat menimba pengalaman yang baru disamping mempelajari sedikit sebanyak tentang pengurusan lading kambing.

Mempelajari Cara Pengurusan Ladang Kelapa Sawit

TARIKH: 16 April 2015, KHAMIS
MASA: 9.30a.m. - 12.00p.m.


Koperasi Membeli dan Membuka Tanah Seri Cheeding Berhad telah ditubuhkan pada tahun 1958. Syarikat ini telah diasaskan oleh Encik Maroof. Misi En. Maroof adalah untuk menjadi pembekal kelapa sawit yang segar dan berkualiti. Dengan itu, beliau telah mengupah 9 orang pekerja permit , 7 orang pekerja tempatan dan juga seorang pembantu untuk menguruskan ladang kelapa sawit tersebut.

Seterunya, kami bertemubual dengan Encik Maarof yang merupakan pemilik Ladang Kelapa Sawit dan juga seorang peniaga. Beliau memiliki ladang kelapa sawit yang seluas 3.5ekar yang terletak di Kampung Seri Cheeding dan sebuah ladang kelapa sawit yang terletak di Sungai Buaya yang seluas 97ekar. Maka 1 ekar tanah merangkumi 35 buah pokok kelapa sawit.

Seterusnya, pembantu ladang kelapa sawit telah memberi penerangan tentang cara menanam dan penuaian kelapa sawit. Bernih yang digunakan adalah bernih berkualiti dan dibeli dari Syarikat Sime Darby. Setiap pokok kelapa sawit akan matang selepas pokok tersebut ditanam selama 3 tahun. Selepas itu, pokok tersebut akan mula dituai selama 25 tahun. Manakala, penuaian kali kedua akan dilakukan selepas 15 bulan. Pokok kelapa sawit mempunyai perosak yang bernama ulat bungkus dan juga kumbang tanduk yang akan menyerang pada waktu malam.

Pembantu ladang kelapa sawit sedang memberi penerangan tentang cara menanam dan penuaian kelapa sawit.

Ladang kelapa sawit ini juga ada sistem peparitan yang unik supaya dapat menampung kehidupan pokok-pokok kelapa sawit, iaitu sistem tiga segi. Selepas itu, pekerja ladang kelapa sawit  telah menunjukkan kami peralatan yang digunakan untuk menuai kelapa sawit. Pahat (4 – 5 inci lebar) disambung pada batang paip besi adalah digunakan untuk pokok kelapa sawit muda yang tingginya kurang 4 meter manakala sabit penuai adalah digunakan untuk pokok tinggi yang melebihi 4 meter. Apabila buah kelapa sawit matang, ia akan jatuh dan menunjukkan warna yang merah.

Pembantu ladang kelapa sawit sedang menerangkan sistem peparitan yang unik yang bernama sistem tiga segi.
Proses penuaian perlu mengambil beberapa hari untuk disiapkan oleh tenaga manusia. Selepas penuaian, buah kelapa sawit akan dihantar ke kilang untuk diproseskan dan dijadikan pelbagai produk yang berguna.

Fatihah sedang menuai buah kelapa sawit.
Sylvester sedang mengangkat buah kelapa sawit. 

hasil penuaian kelapa sawit.
REFLEKSI
Fatihah
Kemahiran saya untuk kait buah kelapa sawit tu perlu digilap lagi. Mana tahu jodoh saya orang yang kerja ladang. Boleh tolong!

Sylvester
Seronok sangat pertama kali pergi ke ladang kelapa sawit. Kerja di ladang kelapa sawit nampak mudah tetapi amat memerlukan kemahirannya agar dapat menjalankan tugas dengan cepat dan tepat.

Emy 
Saya tak banyak sangat pun involve dalam aktiviti ini sebab takut sengat sabit yang tajam. Cuma sempat juga ajukan soalan kepada peladang di sana. Beliau juga membenarkan kami membawa pulang beberapa biji buah sawit untuk di masak dan di makan. Tetapi perkara yang paling best dalam aktiviti ini ialah makanan di kantin koperasi. Sambal dan ika bakar sangat sukar untuk saya lupakan keenakannya.

Shazelin
Saya merasakan sangat gembira dapat melihat dan mencuba diri sebagai peladang kelapa sawit. Saya tidak menjangkakan yang petandingan mewarna mendapat sambutan yang meriah.

Desmond
Saya telah belajar cara menuai buah kelapa sawit dan cara mengangkat buahnya. Selain itu, pihak koperasi juga menerangkan sistem perparitan kepada kami. Saya juga mendapati bahawa modal untuk membuka ladang kelapa sawit sangat tinggi. Keuntungan daripada perniagaan ini memerlukan masa yang panjang.

Yong Xin
Industri minyak sawit negara kita merupakan antara dua yang paling besar di seluruh dunia. Saya berasa teruja dapat peluang memperhatikan cara operasi ladang kelapa sawit serta dapat mencuba sesi “hand-on” untuk menoreh getah. Memanglah tidak mudah untuk buat kerja seperti ini.

Annabel
Saya mengalami pengalaman yang istimewa kerana saya dapat mempelajari ilmu tentang pengurusan lading kelapa sawit.

Vino
Mendapat pelbagai pengetahuan berkaitan penanaman tanaman sawit seperti cara menuai buah sawit dari pokoknya.

Sabrina
Saya amat berterima kasih kepada pihak koperasi kerana melayan kerenah kami, menjawab semua soalan yang dikemukakan serta mengajar cara-cara mengait buah sawit. Saya juga teruja kerana diberi peluang mencipta pengalaman mengait buah sawit.

Ada
Aktiviti ini sangat menarik dan lain daripada aktiviti yang sebelumnya kerana aktiviti ini agak mencabar. Kami diajar untuk memotong kelapa sawit dengan menggunakan alat yang tajam dan berat. Kami dapat mempelajari banyak input yang menarik tentang kelapa sawit seperti buah kelapa sawit selamat dimakan begitu sahaja.

Zahirah
Saya dapat mempelajari cara penanaman dan penjagaan pokok kelapa sawit.

Adilah
Banyak pengalaman dan ilmu yang boleh didapati sepanjang lawatan. Kami semua bersemangat ingin mencuba setiap aktiviti.

Syafina
Kami dapat menimba pengalaman yang baru disamping mempelajari sedikit sebanyak tentang pengurusan ladang kelapa sawit.

Pertandingan Mewarna

TARIKH: 15 APRIL 2015, RABU
MASA: 8.00a.m. - 10.00p.m.


Kami tiba di Dewan Dato’ Hormat sekitar pukul 7:45 malam. Namun, kanak-kanak dan ibu bapa mereka sudah pun berada di dewan tersebut. Pada mulanya, kami semua agak menggelabah kerana kami tidak menyangka bahawa akan ada ramai penduduk kampung yang sudi menyertai aktiviti yang kami jalankan memandangkan aktiviti ini dijalankan pada sebelah malam tetapi sambutan yang diberikan oleh penduduk Kampung Seri Cheeding amat luar biasa. 

Ramai peserta yang menyertai pertandingan.
Setelah selesai proses pendaftaran para peserta yang mengambil masa hampir setengah jam kerana bilangan peserta yang terlalu ramai iaitu hamper seratus lebih peserta, akhirnya pertandingan mewarna dapat dimulakan.

Namun, sekali lagi kami menghadapi masalah kekurangan pensil warna dan kertas mewarna, ditambah lagi dengan karenah kanak-kanak yang ada yang menangis dan ada juga yang mengantuk kerana terpaksa menunggu lama sebelum kertas mewarna dapat diberikan kepada mereka. Akhirnya, berkat kesungguhan para fasilitator menenangkan keadaan dan bantuan dari JKK Kampung Seri Cheeding disamping toleransi yang diberikan oleh para ibu bapa, kami berjaya juga meneruskan pertandingan ini dengan lancar. Kami amat terhibur melihat keletah kanak-kanak tersebut dan kesungguhan yang ditunjukkan walaupun sekadar pertandingan mewarna.

Pertandingan mewarna ini terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori 1 untuk kanak-kanak yang berumur 9 tahun hingga 7 tahun manakala kategori 2 untuk kanak-kanak berumur 6 tahun hingga 4 tahun.


Kategori 1.
Kategori 2.

Bagi kategori 1, tempat pertama dimenangi oleh adik Safiyah, tempat kedua adik Amylia dan tempat ketiga adik Aina. Manakala, bagi kategori 2, tempat pertama dimenangi oleh adik Erniesya, tempat kedua adik Samad dan tempat ketiga adik Nurin. Hadiah-hadiah tersebut disampaikan oleh ketua kampung, Kampung Seri Cheeding, En. Hassan sambal diiringi oleh pengarah projek Jalinan Masyarakat SPAS, Nurul Fatiha. Sekalung tahniah diucapkan kepada para pemenang dan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pertandingan ini.


Kanak-kanak bertungkus-lumus mewarna.

Suasana pertandingan mewarna.
REFLEKSI
Fatihah
Saya suka tengok muka budak-budak yang gembira sebab dapat jajan. Comel sangat! Terima kasih mak ayah sebab sudi datang!

Sylvester
Sambutan pada malam itu sangat memberansangkan dan keadaan menjadi sedikit tidak terkawal apabila adanya budak kecil yang menangis dan bahan melukis tidak cukup. 

Emy 
Saya dan kawan-kawan terkejut jugaklah sebab belum lagi bukak pintu dewan dah ramai budak-budak dan ibubapa yang menunggu. Walaupun agak kelam kabut untuk setup tapi segalanya berjalan dengan lancar. Saya tak mampu nak komen banyak pasal pertandingan mewarna sebab saya in charge di sesi motivasi.

Shazelin
Saya merasakan aktiviti mewarna merupakan aktivti yang terbagus dilakukan untuk budak-budak di kampung Seri Cheeding.

Desmond
Taniah kepada peserta yang berjaya mendapatkan hadiah! Syabas juga kepada peserta-peserta lain yang telah mencuba. Saya berasa aktiviti ini agak lancar tetapi hadiah makanan ringan macam tidak cukup.

Yong Xin
Dalam aktiviti ini, kami hendak menguruskan dua kumpulan budak yang berlainan umur iaitu darjah bawah dan darjah atas. Kami tidak pernah menjangka sambuatan yang begitu kuat daripada penduduk kampung. Walaupun proses itu tidak sebegitu lancar tetapi saya berasa sangat puas hati dengan keputusan yang kami capai.

Annabel
Saya berasa teruja dan gembira kerana penyertaan budak-budak yang sangat banyak adalah di luar jangkaan saya.

Vino
Dapat mempelajari cara untuk berinteraksi dengan kanak-kanak.

Sabrina
Saya bertugas untuk pertandingan mewarna. Saya perlu memantau dan memastikan kanak – kanak yang terlibat dengan pertandingan mewarna ini tidak mengalami sebarang masalah namun penyertaan kanak – kanak dalam pertandingan itu diluar target kami iaitu hampir 3 kali ganda lebih daripada apa yang kami jangkakan.

Ada
Semasa aktiviti ini berlangsung, kami berasa agak tertekan atas faktor bahan yang tidak mencukupi. Walaupun begitu, keadaan dapat dikawal dan semua peserta berpuas hati dengan layanan kami. Pada pendapat kami, agak sukar sebenarnya aktiviti ini diadakan serentak dengan aktiviti motivasi kerana kedua-duanya aktiviti melibatlkan kanak-kanak.

Zahirah
Saya dapat mengenali dan mengetahui cara untuk menangani masalah dengan lebih baik dan cara untuk melayan karenah kanak-kanak.

Adilah
Sambutan pada malam itu sangat memberansangkan dengan penyertaan seramai 114 orang. Agak memenatkan.

Syafina
Kami mempelajari cara mengawal keadaan apabila berhadapan dengan kanak-kanak yang mempunyai pelbagai karenah disamping dapat mengatasi masalah dari segi kekurangan bahan yang diperlukan semasa pertandingan dijalankan.